Malaysia Daulah Putera Bani Tamim !?

Allah SWT Zat Yang Maha Agung, seluruh makhluk adalah di dalam genggamanNya. Allah SWT yang menjadikan sesuatu itu dengan berkata: “Jadi”, maka jadilah perkara itu.

Kita tentu amat gembira andainya dimaklumkan bahawa sebuah gunung di negara kita akan bertukar menjadi gunung emas. Rasa gembira dan senang hati itu kerana kita adalah rakyat negara ini. Selain adanya rasa kekitaan, tentunya kita turut menaruh harapan bakal memperolehi manfaat bersama dari hasil emas yang sebesar gunung itu.

Kalau demikian tentulah kita akan merasai lebih lebih lagi gembira apabila diberitahu bahawa sesuatu yang lebih besar nilainya berbanding gunung emas bakal terjadi di negara kita ini. Tidak lain dan tidak bukan ialah Malaysia bakal menjadi tapak kegemilangan Islam menuju zaman ummah kedua di akhir zaman ini. Ertinya Malaysia bakal menjadi daulah Islamiyah. Tentulah sepatutnya lebih bangga dan gembira apabila ianya termasuk yang diisyaratkan sebagai daulah yang menjadi tapak ummah. Di situ juga munculnya pimpinan Pemuda Bani Tamim yang membawa laluan menuju ummah kedua. Dari situlah bermulanya keagungan Islam hingga ke alam sejagat. Inilah yang telah dijanjikan atau diisyaratkan oleh Rasulullah SAW.

Rujuk kembali kepada Hadis sebelum ini; Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

Daripada Ibnu Umar bahawa Rasulullah SAW sambil memegang tangan Saidina Ali; baginda berkata: “Akan keluar dari sulbi ini seorang pemuda yang memenuhi bumi ini dengan keadilan. Maka apabila kamu menyakini demikian itu hendaklah bersama Pemuda Bani Tamim itu. Sesungguhnya dia datang dari sebelah Timur dan dialah pemegang panji-panji Al Mahdi.” (Hadis riwayat At Tabrani)

Biarpun Hadis Rasulullah SAW itu tidak menyebut secara nyata atau khusus ditujukan Timur itu maksudnya Malaysia, namun tanda-tanda dan ciri-cirinya sangat jelas. Apa yang pasti, Timur itu bukan Jepun, Korea, Taiwan, Hong Kong, Filipina dan seumpamanya. Timur itu mestilah negara Islam yang subur keIslamannya.

Tidak perlu diletakkan di dalam ‘long-list’ mengenai ciri-ciri keIslaman Malaysia sebagai Timur yang dimaksudkan itu. Cukuplah dirangkumkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang paling subur dan syumul pengamalan Islam. Dari keseluruhan aspek ajaran Islam itu yang lebih penting dilihat ialah dari sudut pembinaan roh Islam dalam diri penganutnya, ibadahnya, akhlaknya, pengamalan syariatnya, perkembangan dakwahnya, pendidikannya, kasih sayang dan perpaduan, lemah lembut, mudah mesra dan kesederhanaan.

Ertinya Malaysia bakal menjadi daulah sebagai tapak tertegaknya ummah. Daulah itu dipimpin oleh Pemuda Bani Tamim, dan masanya ialah di awal kurun. Oleh itu tidak perlu mengelilingi merata ceruk rantau dan pelosok dunia. Fokuskan sahaja ke Malaysia untuk sama-sama menyumbang dan memberi ketaatan kepada Pemuda Bani Tamim

Sebenarnya tidak sukar hendak meyakini bahawa Malaysialah yang dimaksudkan sebagai panji-panji hitam yang datang dari sebelah Timur. Biarpun terdapat berbagai-bagai pandangan lain mengenai Timur itu, tetapi tiada siapa yang hendak menyanggahnya atau menyetujuinya. Kerana dalam keadaan belum berlaku, siapa pun bebas memberi pendapat dan tidak pula salah. Pokok pangkalnya ini adalah perkara yang tidak perlu menjadi pertikaian.

Sebahagian umat Islam termasuk para ulama, sangat sukar hendak menerimanya. Sebahagian lagi mengambil sikap tunggu dan lihat. Sebahagiannya pula dengan syukur, senang hati, berlapang dada, berfikiran terbuka lantas meyakininya iaitu melalui maklumat dari berita ghaib atau isyarat kerohanian. Berdasarkan berita ghaib, Timur yang dimaksudkan oleh Hadis itu adalah Malaysia dan Pemuda Bani Tamim itu juga berada di Malaysia. Dan masanya juga sudah sangat hampir tiba umpama orang mengandung menunggu hari melahirkan

Bagi umat Islam, khususnya di rantau nusantara, ini sepatutnya menjadi busyro atau berita gembira yang sangat disyukuri. Dan mengambil langkah positif menjadikan membaiki diri untuk mempertingkatkan taqwa sebagai agenda utama. Busyro kerana Allah SWT mungkin memilih Malaysia sebagai tempatnya dan Melayu adalah bangsanya.

Satu perkara lagi yang agak sukar untuk meyakinkan umat Islam ialah kerana tidak dapat dihadirkan hujah konkrit iaitu memakai sikap musuh-musuh Islam. Sedangkan usaha untuk ‘mencekik’ Malaysia dan Indonesia (Nusantara) melibatkan gerakan antarabangsa. Tidak dapat tanduk telinga dipulas, mereka mencari jalan hendak menyekat perkembangan Islam di rantau ini. Mereka telah lama tahu bahawa inilah rantaunya yang bakal menjadi tapak untuk membangunkan ummah. Sebab itu gerakan mengKristiankan Indonesia telah bermula semenjak lama dulu. Anehnya hanya umat Islam saja yang masih lena dan sering bertelagah sesama sendiri. Malah para pemimpin dan ulama Islam pun kelihatan seolah-olah turut berperanan menjadi alat kepada musuh dan turut menyumbang kepada menyekat perkembangan Islam.

Ingatlah, janji Allah SWT pasti terjadi.