IKHWAN – Menagih Janji Tuhan Di Akhir Zaman

A. Kata sahabat RA,

“Al-Mahdi berserta askarnya akan muncul daripada Timur. Sekiranya gunung menjadi penghalang (perjalanan) mereka, nescaya gunung itu akan (mereka pukul sehingga) hancur ratamenjadi jalan mereka.”

B. Sabda Nabi SAW,

“Akan datang Panji-panji Hitam dari Timur, seolah-olah hati mereka adalah kepingan-kepingan besi. Sesiapa yang mendengar tentang mereka, hendaklah datang kepada mereka dan berbaiatlah kepada mereka, sekalipun terpaksa merangkak di atas salji.”(Al-Hafiz Abu Nuaim)

C. Kata Sayidina Ali KMW,

“Maka Allah Azza wa Jalla menghimpunkan sahabat-sahabatnya (tentera al-Mahdi yang dipanggil Ikhwan) seramai tentera-tentera Badar dan seramai tentera Talut, iaitu 313 orang lelaki, seolah-olah mereka itu singa-singa jantan yang keluar dari hutan. Hati mereka itu ibarat kepingan-kepingan besi. Kalau mereka berkehendak untuk memindahkan gunung, nescaya akan mereka lakukan. Pakaian mereka sejenis dan seolah-olah mereka itu dari satu ibu dan satu ayah.”

Golongan Ikhwan ini, jumlahnya adalah 313 orang. Mereka merupakan golongan pemimpin umat manusia semasa pemerintahan Imam Mahdi. Peranan mereka adalah sama dan setara dengan peranan Sahabat dahulu. Gelaran Ikhwan dan Sahabat itu hanyalah untuk memudahkan kita membezakan zaman mereka berada sahaja. Jika para sahabat muncul pada awal Islam, maka Ikhwan muncul pada zaman akhirnya. Sifat-sifat mereka ini ada dinyatakan di dalam hadis-hadis di atas, amat mudah difahami (walaupun amat sukar melaksanakannya).

Links : SIAPAKAH IKHWAN ?

Ikhwan adalah suatu nama yang umum, namun golongan yang digelar Ikhwan adalah suatu yang jarang-jarang berlaku dalam sejarah Islam. Sepanjang sejarah umat Islam yang sudah lebih seribu empat ratus tahun ini, hanya beberapa peristiwa sahaja yang menggunakan nama Ikhwan, itupun sebahagiannya tidak sepopular mana pada mata masyarakat seluruh dunia. Ini membuktikan lagi bahawa hadis-hadis mengenai golongan Ikhwan ini memang tidak popular, baik pada ulamanya, para pemimpinnya, rakyat jelata dan umum masyarakat. Dan dikeranakan itu pulalah, dengan mudah kita dapat membezakan antara yang benar-benar mengikut hadis atau hanya menumpang nama sahaja atau termenggunakan nama Ikhwan itu secara tidak sengaja.

1. IKHWAN ditangan Imam Jalaludddin As Suyuti RH ( abad 9 Hijrah ).

Sejarah terawal penubuhan anggota Ikhwan adalah pada abad kesembilan Hijrah dahulu, oleh Imam as-Suyuti RH. Memang kita ketahui bahawa Imam as-Suyuti RH banyak mengkaji hadis berkenaan peristiwa akhir zaman, banyak fahamnya termasuk yang seni-seni mengenainya dan beliau juga ternyata amat berminat dengan hal-hal yang sedemikian. Beliau pernah menubuhkan jemaahnya sendiri yang dikenali sebagai golongan Ikhwan, mengambil sempena golongan Ikhwan yang disebut-sebut oleh hadis Nabi SAW. Mereka ini berpakaian hijau manakala yang perempuannya berpakaian hitam, semasa berjalan sentiasa bergerombolan dan tinggal di kawasan Timur, iaitu di timur Palestin. Mereka tidak mengangkat senjata dalam perjuangan mereka, sama seperti yang disebut oleh hadis-hadis dan akhirnya bubar setelah beberapa lama masa berlalu.

Mereka mendapat didikan agama dan mempunyai kefahaman yang hampir sama dengan pemimpin mereka iaitu Imam as-Suyuti RH sendiri. Sayangnya, jumlah mereka tidaklah tepat 314 orang seperti yang disebutkan oleh hadis dan tempat tinggal mereka juga tidaklah tepat di Timur seperti yang dinyatakan oleh hadis. Zaman mereka muncul juga adalah tidak bertepatan dengan masa yang sebenar, walaupun mereka ini muncul pada awal kurun Hijrah.

Pemimpin mereka iaitu Imam as-Suyuti RH bukanlah Pemuda Bani Tamim yang disebut-sebutkan itu. Mereka juga tidak menanti Imam Mahdi muncul kerana matlamat utama Imam as-Suyuti RH berbuat demikian adalah untuk mendapatkan keberkatan sahaja, moga-moga beliau dan anggota Ikhwannya itu mendapat satu pahala, iaitu pahala berijtihad. Jika betul ijtihadnya, mereka mendapat dua pahala dan jika salah ijtihad itu, tetap mendapat satu pahala, iaitu pahala berijtihad. Mereka juga sebenarnya mendapat pahala-pahala lain iaitu pahala berusaha, pahala berjuang dan pahala beramal secara berjemaah.

Itulah golongan pertama yang diketahui sejarah menggunakan nama Ikhwan dalam perjuangan mereka.

2. IKHWAN ditangan Bani Saud yang Berfahaman WAHABI.

Golongan kedua yang diketahui menggunakan nama Ikhwan dalam perjuangan mereka adalah dari kalangan pemimpin Bani Saud yang menyerang Makkah dan Madinah serta wilayah Hijaz yang lain. Mereka ini adalah pasukan tentera Bani Saud yang berfahaman WAHABI TULEN yang menyerang kota Makkah dan Madinah sekitar tahun 1924 dan 1925 Masihi dahulu, dan seterusnya menakluk kedua-dua buah kota suci umat Islam itu, melepaskannya dari kekuasaan Bani Osmani Turki, dan merampas kekuasaan autonominya daripada Syarif-syarif yang sebelumnya berkuasa penuh ke atas kedua-dua kota suci itu. Pemimpinnya ketika penyerangan itu adalah Sultan Abdul Aziz bin Abdul Rahman El-Faisal Aali Saud, yang selepas penawanan kedua-dua kota suci itu memakai gelaran Al-Malik, dan gelaran itu kekal sehingga ke hari ini.

Yang mereka serang adalah Syarif Husain, pendiri Kerajaan Hasyimiah yang berpusat di kota Makkah. Mereka merampas beberapa benda berharga di kedua-dua buah kota suci itu, yang antaranya adalah milik peribadi Rasulullah SAW dan ahli keluarga baginda lalu dibawa ke Riyadh, ibu kota dan pusat pemerintahan Bani Saud itu. Mereka juga memusnahkan makam-makam Sahabat RA termasuk yang mati syahid, lalu meratakannya dengan tanah. Rumah keputeraan Rasulullah SAW juga turut dimusnahkan, dijadikan kandang binatang. Hanya akhir-akhir ini sahaja tempat itu dijadikan sebuah perpustakaan untuk bacaan umum.

Nyata pula pasukan Ikhwan yang ini begitu keras, sama sekali tidak sesuai dengan namanya. Pasukan ini juga berjaya menakluk seluruh Hijaz dan meletakkannya di bawah kekuasaan mutlak raja baru di seluruh Hijaz iaitu Bani Saud.

Oleh kerana pemimpinnya adalah seorang yang tidak percayakan hadis-hadis mengenai Panji-panji Hitam, maka penggunaan nama Ikhwan bagi pasukan tentera ini hanyalah kebetulan semata-mata, bukannya menuruti hadis.

3. IKHWAN ditangan Imam Asy Syahid Hassan Al Bana

Golongan ketiga yang diketahui sejarah menggunakan nama Ikhwan ialah kumpulan yang terkenal di Mesir dahulu, iaitu Ikhwanul Muslimin. Mereka adalah golongan yang berjuang tanpa senjata, menegakkan semula Islam ke tengah-tengah masyarakat Mesir yang sedang menghadapi pergolakan jiwa yang amat hebat, antara Islam sebagai ajaran tradisi dengan tamadun Barat sebagai ideologi yang moden dan maju.

Ketika itu rakyat Mesir sedang menghadapi tekanan daripada penjajah Inggeris yang cuba menanam rasa kagum mereka kepada tamadun Barat yang kononnya amat maju itu, untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian mereka, dan meninggalkan kepercayaan lama mereka yang kolot itu. Pegangan agama mereka juga umumnya amat lemah dan Islam pada mereka lebih bersifat tradisi, bukannya sebagai pegangan dan anutan hakiki.

Dalam keadaan yang demikianlah, Hassan al-Banna muncul dengan membawa kaedah dakwah yang komprehensif dan ajaran agama yang progresif untuk diterapkan secara realiti oleh seluruh masyarakat Islam Mesir, bukan semata-mata teori. Usaha beliau ini tidak semata-mata atas inisiatif beliau seorang diri tetapi mendapat sokongan beberapa orang rakannya yang lain, yang turut gigih berjuang bersama-sama beliau. Ikhwanul Muslimin pernah mencapai puncak kegemilangannya sehingga mempengaruhi pihak pemerintah di Mesir sendiri dan penjajah Inggeris di sana. Semasa di puncak itu, gerakan ini mencapai ahli berjuta-juta orang dan meliputi pelbagai bidang profesional.

Namun, mereka bukanlah gerakan yang dimaksudkan kerana Ikhwanul Muslimin menggunakan asas syariat lahir sebagai alat utama perjuangan mereka. Aspek kerohanian kurang diberi tumpuan dan inilah satu faktor utama yang membantu menumbangkan mereka semasa mereka berada di puncak kegemilangan.

Para pemimpinnya, termasuk Hassan al-Banna sendiri mati syahid. Ada yang mati ditembak dan ada yang dihukum gantung. Namun, gerakan Ikhwanul Muslimin masih tetap hidup hingga ke hari ini, sambil pergerakan mereka diawasi ketat oleh pihak pemerintah di Mesir. Mereka juga tidak berniat mengembangkan gerakan Ikhwan ini ke seluruh dunia seperti yang ditetapkan oleh hadis-hadis.

4. IKHWAN ditangan Abuya Syaikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi ( awal abad 14 Hijrah )

Sila kunjungi http://ikhwantoday.com , http://ikhwan-daily.com, http://ikhwan-insight.com atau di Heliconia’a Weblog atau kunjungi blog-blog yang ada menu LINKS di sidebar sebelah kanan